Assalamualaikum..
Semalam sempat membaca buku bertajuk Fadilat,Zikir dan Doa Harian. Mija tersentuh hati dengan satu kisah ini sememangnya memberikan ikhtibar kepada mija dan mungkin pada sesiapa yang membacanya. Mungkin ini cuma kisah zaman dahulu yang mija tidak tahu adakah benar ianya terjadi, tapi sebagai hamba Allah pasti kisah-kisah begini memberikan pengajaran yang sangat berguna. Buat diri mija dan sahabat semua jangan lupa hadiahkan pahala sedekah, al-fatihah, yasin dan doa kepada saudara-saudara kita yang telah meninggal dunia.
Sudah hampir 14 hari pemergian insan yang pernah mija sayangi. Pemergiannya masih terasa dan membuatkan diri ini lebih banyak bermuhasabah diri untuk segera berubah dan bertaubat. Menyedari diri terlalu banyak berbuat dosa dan bahawa kematian tidak mengenal usia. Malah kehilangan arwah buat diri ini lebih insaf untuk kembali ke jalan Allah dan berubah ke arah kebaikan. Al-fatihah buat Arwahyarham Mohamad Hanif Zuber, Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Kenangan bersama tidak akan mija lupakan sampai akhir hayat nanti. Arwah seorang yang baik.
***********************************
Di dalam kitab Tanbihul Ghafilin dikisahkan peristiwa yang terjadi pada malam Jumaat untuk dijadikan iktibar kepada kita, umat islam.
Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat, Saleh al-Maizy pergi masjid Jamik untuk mengerjakan solat Subuh.
Kebiasaanya ia berangkat awal sebelum masuk waktu solat Subuh dan melalui sebuah perkuburan. Di situ, Saleh duduk seketika sambil membaca apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu Subuh masih lama lagi.
Tiba-tiba dia tertidur di situ lalu bermimpi melihat ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing. Mereka duduk dalam berkumpulan sambil berbual-bual sesama mereka.
Al-Maizy terpandang seorang pemuda ahli kubur yang memakai baju begitu kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah yang begitu murung, gelisah kerana begitu sedih.
Tidak berapa lama kemudian, datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutupi dengan kain. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan.
Malaikat menghampiri para ahli kubur dengan membawa talam-talam tersebut. Setiap seorang mengambil satu talam dan di bawanya masuk ke dalam kubur mereka.
Semua ahli kubur mendapat satu talam sehingga tinggallah pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak memperoleh apapun.
Dengan perasaan yang teramat sedih dan berduka, dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya. Tetapi sebelum dia masuk, al-Maizy segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya.
Wahai hamba Allah! Aku lihat engkau terlalu sedih. Mengapa? Tanya Saleh al-Maizy.
Wahai Saleh, Adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa oleh malaikat sebentar tadi? Tanya pemuda itu.
Ya, aku melihatnya. Tetapi apakah benda di dalam talam-talam itu? Tanya al-Maizy lagi.
Pemuda tersebut menerangkan bahawa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang telah meninggal dunia yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat.
Pemuda tersebut kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia mempunyai seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya, ibunya terlupa untuk bersedekah kepada anaknya yang telah meninggal dunia sehingga tiada seorang pun yang mengingati pemuda tersebut.
Maka bersedihlah pemuda itu setiap malam terutama pada hari Jumaat apabila melihat orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang sahaja yang tidak menerimanya.
Al-Maizy merasa begitu kasihan mendengarkan cerita pemuda tersebut. Lalu ia menanyakan nama dan alamat ibu pemuda itu agar ia dapat menyampaikan keadaannya kepada ibunya. Pemuda itu menerangkan sifat-sifat ibunya.
Tidak berapa lama kemudian, al-Maizy terjaga dari mimpinya Maka pada sebelah paginya, al-Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut.
Setelah mencari ke sana kemari, beliau akhirnya berjaya menemui ibu pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya.
Ibu itu menangis mendengar cerita al-Maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzakh.
Lalu ia berkata: Wahai Saleh! Memang benar dia adalah anakku, Dia belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan meminum susu dari dadaku dan ribaku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya.
Al-Maizy turut merasa sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis dengan penuh penyesalan kerana lupa untuk mendoakan anaknya selama ini.
Kalau begitu, aku mohon minta diri dahulu. Kata al-Maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut.
Tatkala dia hendak melangkah pergi, ibu pemuda itu menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia segera masuk ke dalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak 1,000 dirham.
Wahai Saleh, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya-Allah aku tidak melupakannya dengan doa dan sedekah untukknya selama aku masih hidup.
Saleh al-Maizy mengambil wang tersebut, lalu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak tinggal sesenpun dari 1,000 dirham itu. Dilakukanya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.
Pada suatu malam Jumaat berikutnya al-Maizy berangkat ke masjid Jamik untuk solat berjemaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan.
Di situ ia terlena sekali lagi dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing-masing. Pemuda yang dahulunya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama ahli kubur yang lain dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan amat gembira.
Pemuda tersebut mendekati Saleh al-Maizy lantas berkata: Wahai tuan Saleh, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu. Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari Jumaat.
Eh engkau boleh mengetahui hari Jumaat? Tanya al-Maizy.
Ya, tahu.
Apa tandanya?
Jika burung-burung di udara berkicauan dan berkata:
Selamat, Selamat pada hari yang baik ini iaitu hari Jumaat.
Saleh al-Maizy terjaga dari tidurnya. Ia cuba mengingati kembali mimpinya lalu dia merasa gembira kerana pemuda tersebut telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.
P/S: Oleh itu wahai sahabatku, jangan biarkan orang-orang yang kita sayang, yang mengadap Allah terlebih dulu daripada kita sepi tanpa doa dan sedekah daripada kita. Sesungguhnya apabila meninggal dunia seseorang anak adam itu, maka terputus ia semua hal kecuali 3 perkara iaitu doa anak2 yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.
Semoga ada yang sudi sedekahkan al-Fatihah bila mija tiada lagi didunia ini..
Wasalam....













6 comments:
membaca itu jambatan ilmu...sama berkongsi ilmu yang diperolehi..
thankz mieja.. :)
sm2 ain.... :)
Alhamdulillah, bagus kitab nie..
Kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Orang-orang yang lalai) ... karangan Syeikh Abu Laits As-Samarqandi
alhamdulilah juga..
mija bru taw makna kitab tu..
tq bgtaw..
JAB msti da baca abis kan.. :)
:-)
Kitab nie asalnya dalam Bahasa Arab, mungkin kat kedai ade jual terjemahannya.
Tapi Jamal belajar memang pakai kitab jawi dan arab. So kalau arab nie memang payah sikit la nak abeskan..maklumlah bahasa arab belum mahir lagi..:-)
rindunya kat mieja n blog mieja :(
Post a Comment